Konsert rock indie terbesar
Siapa kata muzik tempatan tidak mendapat tempat di hati pendengar? Malah hanya pada konsert yang membariskan pemuzik indie seperti Estranged, One Buck Short, Pure Vibracions, Bunkface, Republic Of Brickfields, Butterfingers, Koffin Kanser, Zip Zieller, The Otherside Orchestra, Revenge, They Will Kiss Us All, Komplot, OAG dan Upon Arrival, peminat setia menjadi penonton dari pukul 12 tengah hari sehingga 11.30 malam.
Memang diakui ada di antara mereka sudah mendapat perhatian secara komersial. Tetapi kebanyakan daripada mereka masih bergerak bebas dan menghiburkan peminat mereka menggunakan medium alternatif sendiri.
Namun, ini tidak bermaksud mereka kurang popular dan tidak diterima ramai.
Sungguhpun konsert ini berlangsung hampir 12 jam, penonton masih aktif bergerak dan memberi sokongan kepada pemuzik kegemaran masing-masing di bawah limpahan cahaya matahari serta hujan.
Ada sebabnya mengapa konsert RTW yang dianjurkan setiap tahun ini mendapat sambutan memberangsangkan. Dengan tiket berharga RM25, peminat boleh mendengar seleksi muzik dari punk, hardcore, alternatif, grunge, rock dan reggae mengikut cita rasa masing-masing.
Mencecah kos RM400,000 untuk penganjuran konsert ini, RTW8 dimulakan dengan persembahan kumpulan kolej seperti Static Emily, Incarnation, Out To Bed, Dance To The Radio, Sharpshooter dan Harvesting Space Sounds.
Mungkin ramai yang berpendapat konsert yang melibatkan kumpulan-kumpulan indie tidak cukup 'berkualiti'. Tetapi memandangkan kos yang dilaburkan, diyakini tanggapan itu salah.
Pentasnya dibina gagah dengan gabungan penata cahaya dan bunyi pada standard yang tidak 'murah'. Sementara pemilihan penyanyinya juga antara faktor ruang pakir Stadium Merdeka itu sarat.
Estranged, OAG, One Buck Short dan Butterfingers contohnya telah membuatkan audiens tidak berhenti sorak memberi sokongan paling padu mereka buat barisan band yang hebat nama dan persembahan mereka.
Butterfingers walaupun tanpa gitaris asal mereka, Loque yang masih berada di Amerika Syarikat tetap mendapat sokongan padu. Kali pertama mereka memainkan material terbaru mereka, tanpa Loque di ruang yang besar namun masih mengujakan.
Petikan dari www.Kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment